Watak yang bertungjawab membentuk dan membuka laluan untuk dua penyanyi terkenal dunia, Michael dan Janet Jackson, serta kumpulan Jackson 5, menghembus nafas terakhir semalam.



Semasa hayatnya Joe Jackson, 89, juga dikenali sebagai seorang bapa yang pernah mendera anak-anaknya secara fizikal atau lisan. Dia berpindah dan menetap di Las Vegas baru-baru ini dan meninggal dunia akibat barah kanser pankreas.

Menurut Reuters, walaupun hubungan Joe tidak berapa baik dengan sebahagian daripada 10 anaknya dia tetap ditemani anggota keluarga ketika menutup mata buat kali terakhir.

Seorang lagi anak Joe yang tidak kurang popularnya, La Toya, menggunakan Twitter untuk menciap bagi mengenang jasa Joe: “Saya akan sentiasa menyayangimu. Kau memberi kami semangat dan menjadikan kami antara keluarga yang paling terkenal di dunia.

“Saya amat menghargai usaha itu. Saya tidak akan melupakan kenangan yang kita kongsi bersama dan bagaimana kau memberitahu bahawa kau sentiasa mengambil berat.”

Seorang lagi cucu Joe, Steven Randall yang juga anak kepada penyanyi dan penulis lirik Randy Jackson menciap: “RIP kepada raja yang menjadikan segala perkara tidak mustahil. Saya sayang kamu, atuk.”

Keluarga Jackson berpecah-belah ekoran perbalahan undang-undang, perbalahan harta, dan dakwaan pencabulan kanak-kanak ke atas Michael yang tidak dapat dibuktikan.

Melatih dengan tali pinggang

Ketika penyanyi Thriller itu meninggal dunia sewaktu berusia 50 tahun pada 2009, nama Joe dikeluarkan daripada senarai wasiatnya.

Joe dilahirkan pada 26 Julai 1928 di Fountain Hill, Arkansas. Mendiang pernah menceburi bidang tinju selain bergelar pemain gitar dengan kejayaan kecil pada 1950-an.

Dia bekerja sebagai operator kren di Gary, Indiana sewaktu pertama kali memperkenalkan bakat anak-anak lelakinya.

Joe kemudian menggelar band yang terdiri daripada lima anaknya itu sebagai Jackson 5 dengan Michael menjadi vokalis.

Mereka mungkin menjadi satu daripada pemuzik terulung di dunia, namun kejayaan itu tidak datang dengan mudah.

Sebagai pengurus band, Joe memaksakan latihan yang menjerihkan buat anak-anak lelakinya.

Michael pernah memberitahu Oprah Winfrey dalam wawancara pada 1993 bahawa dia takut kepada Joe dan kadang-kala termuntah apabila melihat bapanya itu.

Kata Michael, Joe akan mengendali sesi latihan dengan tali pinggang.

“Jika kamu buat hal sewaktu latihan, kamu akan kena pukul. Dia pernah menarik wayar dari peti sejuk dan memukul saya dengannya. Saya boleh melawan tetapi bapa akan membunuh saya,” katanya.

Bagaimanapun, Joe berkata dia mempunyai sebab kerana bersifat tegas dan dia bersyukur dengan sikap itu ia membantu anak-anaknya mengecapi kejayaan.

“Saya bersyukur kerana bertegas dan lihat apa yang telah dihasilkan. Saya berjaya mencipta kanak-kanak yang semua orang sayang di seluruh dunia dan mereka dilayan dengan baik,” katanya dalam satu temubual dengan CNN pada 2013.-Malaysiakini

Post a Comment