Kemelut rumah tangga antara pemuzik, Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude dengan isteri pertamanya, Intan Liana Saleh, akhirnya bernokhtah apabila pasangan itu sah bercerai talak satu pada jam 9.50 pagi di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, hari ini.

Ude, 30, yang juga suami kepada pelakon Izreen Azminda melafazkan talak satu di hadapan Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai difailkannya pada Januari lalu.

Permohonan itu difailkan mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Difahamkan Ude kali pertama memfailkan permohonan cerai pada November tahun lalu, namun menarik balik permohonan itu sebelum memfailkan semula permohonan sama Januari lalu.

Suasana dalam mahkamah bertukar sedih apabila pasangan itu bermaafan dan bersalaman buat kali terakhir sebagai suami isteri sebelum Ude melafazkan cerai.

Intan Liana, 33, yang berjubah hitam dilihat sebak sehingga menitiskan air mata ketika bersalaman dengan Ude.

Shaiful Azli kemudian mensabitkan berlaku perceraian talak satu dan memerintahkan Intan Liana selaku defendan menjalani tempoh edah selama tiga bulan, mendaftarkan perceraian mereka di pejabat agama daerah Gombak Timur dan sijil nikah dibatalkan.

Selepas membenarkan permohonan itu, mahkamah menasihati pasangan itu supaya mengambil iktibar terhadap apa yang terjadi dan tidak mengulangi lagi kesalahan lalu.

Pada prosiding itu, Ude diwakili peguam syarie, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain, manakala Intan Liana diwakili peguam syarie Suriany Awaludin.

Terdahulu, ketika prosiding bermula, Mohd Zaidi memaklumkan pasangan itu masih lagi berbincang mengenai perjanjian penyelesaian berkaitan isu tuntutan selepas perceraian termasuk nafkah.

Berdasarkan fakta kes, Mohd Zaidi berkata, pasangan itu sudah tidak mempunyai persefahaman dalam perkahwinan dan wujudnya shiqa' (perbalahan) berpanjangan.

"Perbincangan sudah dibuat, namun tiada jalan penyelesaian dicapai antara kedua-dua pihak.

"Mereka sudah tinggal berasingan sejak lima bulan lalu. Perceraian ini juga tidak membabitkan pihak ketiga," katanya.

Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah, Suriany memberitahu dia dilantik Intan Liana untuk mewakilinya pada minggu lalu.

Ude dan Intan Liana bernikah pada 1 Mac 2013 dan dikurniakan dua anak, Arish Muqri, 3, dan Ariq Muqri, 1.

Penghujung tahun lalu, dunia hiburan gempar apabila Izreen Azminda membuat pengakuan terbuka sudah menjadi isteri kedua kepada pemuzik bebas itu semenjak 8 Ogos 2017 dalam satu perkahwinan tertutup di Damansara.

Sebelum ini, Izreen Azminda mendirikan rumah tangga dengan jurukamera, Muhammad Riza pada 2012 tetapi berpisah dua tahun kemudian.

Pada perkahwinan itu, Izreen Azminda dan bekas suami, dikurniakan seorang anak, Muhamad Adrian Umar yang kini berusia lima tahun.

-bharian

Post a Comment