Lagu itu adalah hasil gubahan komposer terkenal Datuk Ramli MS.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata bersempena tempoh 100 hari menjelang temasya Sukan SEA 2017, rakyat Malaysia dipelawa untuk menyumbang idea bagi lirik lagu tema itu menerusi laman sosial dengan hashtag #laguKL2017.
"Saya dan Datuk Ramli sudah berbincang dan kita mahukan lirik disumbangkan rakyat. Saya harap rakyat Malaysia menghantar lirik melalui Twitter, Facebook dan Instagram masing-masing dengan meletakkan hashtag #laguKL2017 untuk Datuk Ramli gunakan ayat-ayat atau perkataan daripada rakyat bagi menggubah lagu tema KL 2017 kali ini," katanya kepada pemberita.
Khairy sebelum itu melancarkan majlis kiraan detik 100 hari menjelang penganjuran Kuala Lumpur 2017, di sini hari ini.
Khairy berkata penglibatan seluruh rakyat Malaysia dalam pembikinan lagu tema itu akan menyemarakkan lagi penganjuran Sukan SEA dari 19 hingga 30 Ogos dan Sukan Para ASEAN dari 17 hingga 23 Sept ini.
Pernah memenangi anugerah dalam kerjaya seninya, Dayang Nurfaizah Awang Dowty ialah penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak yang terkenal dengan lagu seperti Lelaki Teragung, Di Pintu Syurga dan Erti Hidup.
Kuala Lumpur selaku tuan rumah penganjuran Kuala Lumpur 2017 buat julung kali meraikan kiraan detik 100 hari menjelang temasya dwitahunan itu dengan penglibatan orang ramai hari ini.
Bagi gimik majlis itu, Khairy bersama lebih 20 atlet negara menaiki bas dua tingkat dari stesen LRT Bangsar menuju KL Sentral.
Majlis dianjurkan Jawatankuasa Pengelola Malaysia bagi Kuala Lumpur 2017 itu turut memperkenalkan dua penaja baharu iaitu Malaysian Resources Corporation Bhd dan Prasarana Malaysia Berhad.
-- BERNAMA
Post a Comment