Ampang: Pelakon veteran, Kuswadinata atau nama sebenarnya Kuswadi Bujang (gambar), 75, meninggal dunia di Hospital Ampang, di sini pada jam 5.07 petang semalam, akibat penyakit pendarahan dalam badan.

Jenazah Allahyarham dibawa ke rumahnya di Taman Rasmi Jaya sebelum dikebumikan di Kampung Tengah, di sini, sebelum Zuhur hari ini.

Koma 3 hari

Anak ketiganya daripada perkahwinan kedua Allahyarham iaitu Mohd Irwan, 27, berkata bapanya koma selama tiga hari sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Papa dimasukkan ke Hospital Ampang sejak enam hari lalu dan menghidap penyakit buah pinggang serta kanser kelenjar sejak empat tahun lalu.

Tapi, dia disahkan meninggal dunia dalam koma selepas mengalami muntah darah.
Arwah akan dimandikan di Masjid Bukit Indah dekat sini dan dikebumikan sebelum waktu Zuhur esok (hari ini).

Papa ada menyatakan hasrat untuk ke Pulau Kapas sebelum meninggal, namun tak kesampaian, katanya ketika ditemui, semalam.

Tinggalkan dua balu

Allahyarham yang berasal dari Singapura meninggalkan dua balu, Fatimah Ahmad, 70, dan Kamariah Mohd Said, 58, serta sembilan anak, 14 cucu dan seorang cicit.

Allahyarham memulakan kerjaya lakonannya di Malay Film Production, Jalan Ampas, Singapura pada 1957 dan membintangi lebih 25 filem sepanjang hayatnya.


Post a Comment