ZAWYAH dan suami memotong pulut kuning meraikan perkahwinan mereka di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR: Bekas isteri Datuk Seri Khalid Muhd Jiwa (Datuk K), Tengku Zawyah Izham, 48, selamat melangsungkan pernikahan dengan usahawan dari Pulau Pinang, Datuk Rayyan Joseph King Abdullah, 40-an, di Hotel Royale Chulan, di sini, semalam.

Ibu tunggal kepada lima cahaya mata itu menerima mas kahwin RM501 selain tujuh dulang hantaran berserta wang tunai RM38,888.88 sebagai hantaran. Zawyah membalas dengan sembilan dulang antaranya sirih junjung, wangian, al-Quran dan sejadah, manisan dan jam tangan.

Pasangan itu dinikahkan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Che Mat Ali, kira-kira jam 11 pagi.

Perkenalannya dengan duda beranak dua itu berlangsung satu setengah tahun lalu menerusi seorang rakan dan pada 26 Februari, rombongan keluarga Rayyan meminang Zawyah. Rayyan memeluk Islam pada Februari lalu.

“Sikap prihatin, bertanggungjawab, bijak berkomunikasi, merendah diri dan paling utama disenangi anak-anaknya antara kriteria yang membuatkan saya terbuka hati untuk menerima lamaran suami,” katanya.

Majlis resepsi berlangsung di lokasi sama pada sebelah malam dan pasangan mempelai merancang berbulan madu di Switzerland.

-Bharian

Post a Comment