HANYA air mata dan rasa syukur yang mampu dipanjatkan Shuib Sepah atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad, apabila isterinya, Siti Sarah Raisuddin yang dinikahi pada 26 Februari lalu disahkan hamil kira-kira sebulan lebih.
Sememangnya itu khabar gembira yang sudah ditunggu-tunggu sebaik mereka disatukan. Malah, seperti diakui isterinya, Shuib terlalu mengharapkan kehadiran cahaya mata sekali pun perkahwinan mereka boleh dikatakan masih di ambang bulan madu.
“Setiap kali saya kurang sihat, suami saya akan berseloroh mengatakan kemungkinan itu ‘pembawaan budak’. Walau bergurau, saya tahu dia memang tak sabar menjadi bapa. Malah sudah dua kali kami membuat ujian kehamilan, tetapi hasilnya mengecewakan.
“Kerap juga saya ingatkan padanya supaya tidak terlalu mengharap, takut kecewa. Lagi pun semua ini urusan Yang Maha Esa. Kita serahkan saja kepadaNya. Lambat atau cepat kami terima dengan hati terbuka,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Man Sewel Datang KL.
Pasangan pengantin baru itu digandingkan dalam filem komedi terbitan Work Move Production Sdn Bhd yang selesai menjalani penggambaran awal bulan ini dengan mengambil masa hampir 30 hari untuk disempurnakan.
Cerita penyanyi berusia 27 tahun ini, pada hari terakhir penggambaran filem itulah mereka menerima perkhabaran berkenaan apabila kunjungan ke klinik selepas sangkaan serangan gastrik merungkai segala persoalan dan penantian.
“Waktu itu di fikiran saya, badan lemah dan sakit perut adalah disebabkan terlampau letih. Sememangnya kami mahu beri yang terbaik kepada filem sulung ini dengan menaruh sepenuh usaha dan jiwa. Boleh dikatakan, rumah cuma tempat melelapkan mata.
“Pada hari terakhir di set baru saya terasa keletihan yang amat sangat. Selepas pemeriksaan dan ujian air kencing doktor memaklumkan hasil ujian. Shuib pula secara spontan terus menangis dan memeluk saya,” ulasnya lagi dengan nada gembira.
Nyata aura gembira yang melingkari kehidupan pasangan itu semakin menebal, apatah lagi dengan kehadiran orang baru yang dijangka pada Disember ini membuatkan di hati masing-masing bersarang rasa teruja.
Biar kudratnya tidak sekuat dulu dek alahan, Sarah tetap gagahkan diri kerana beberapa undangan sudah sedia menanti terutama persembahan pentas dengan terkini Minggu Setiausaha Menara Kuala Lumpur.
“Inilah yang dinamakan rezeki anak. Syukurlah, sejak berkahwin, tawaran tidak putus-putus hadir dan Man Sewel Datang KL antara projek gandingan kami berdua. Undangan pentas juga ada hampir setiap minggu.
“Jadi, saya tidak boleh terlalu memanjakan diri tambahan pula ini fasa biasa yang dilalui semua bakal ibu. Apa pun, seronoknya apabila suami lebih memanjakan kita,” seloroh anak perempuan Raisuddin Hamzah itu.
Mengakui keluarga, terutama bapanya, juga tidak sabar menanti kehadiran si kecil yang juga cucu kedua dalam keluarganya manakala di sebelah suami, bayi dalam kandungannya ialah cucu sulung, kerana Shuib anak tunggal.
Lurus, bukan sewel
SHUIB yang kini sibuk dengan Maharaja Lawak pula memberitahu, dia ada berasakan kelainannya tatkala membawa isteri ke klinik kali terakhir lalu.
“Dalam hati saya berasakan ada sesuatu yang tidak kena melihat Sarah pening dan muntah-muntah. Dia cakap mungkin serangan gastrik. Namun hati saya kuat mengatakan dia hamil. Cuma waktu itu saya diamkan saja sebab sudah beberapa kali saya meneka.
“Rasa terharu campur gembira yang teramat sangat membuatkan saya terus menangis dan memeluknya. Bukan apa, saya memang menunggu-nunggu berita ini. Kandungan masih terlalu awal, sebagai suami saya akan menjaganya sebaik mungkin,” katanya yang langsung tidak berenggang dengan isteri.
Menyentuh mengenai filem sulung mereka, Shuib yang ingin mempunyai empat cahaya mata sebagai pelengkap rumah tangga berkata, awalnya dia seakan tercari-cari karektor lakonannya, namun selepas tiga hari di lokasi, segala-galanya berjalan lancar di atas bimbingan pengarah serta kerjasama pelakon lain.
“Memang berat tanggungjawab ini kerana Man Sewel tidak boleh berlebih-lebih. Dia bukan sewel, sebaliknya sangat kekampungan dan lurus. Anak muda itu punya kebijaksanaan tersendiri. Ada sisi positif mengenai pemuda ini.
“Tampak mudah kerana ini filem komedi dan saya pula daripada Raja Lawak. Namun ia punya cabaran tersendiri apatah lagi dalam filem ini saya juga terpaksa bersolek seperti wanita,” kata pelakon yang baru mencecah 27 tahun itu.
Selain lakonan, mereka juga turut berduet untuk sebuah lagu yang menggambarkan percintaan kedua-duanya berjudul Cinta Itu Nyawa yang bakal dimuatkan dalam album baru Sarah tidak lama lagi.
Post a Comment