Marsha anggap tidak manis jika dia yang terlebih bercerita soal hati
PERTENGAHAN bulan lalu, Marsha Milan Londoh mengakui menjalin hubungan dengan seorang usahawan berbangsa Melayu. Namun tidak sampai sebulan bintang muda itu meminta mereka hanya dilabel sebagai teman paling rapat.
Apabila empunya diri mengeluarkan kenyataan sedemikian, maka timbullah persoalan, apakah perhubungan itu hanya sampai ke pertengahan jalan. Apabila Marsha berkata begitu, ramai peminat yang mula bertanya, apa yang sebenarnya berlaku antara mereka.
Usai majlis minum petang anjuran Rafflesia dan pereka yang menggelarkan diri mereka 5Stars sempena Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010 Ahad lalu, saat melabuhkan duduk di sebuah restoran, pertanyaan mengenai sejauh mana hubungan merpati dua sejoli yang sudah berkenalan hampir dua tahun lalu menjadi topik bualan.
Cukup berhati-hati ayat yang meluncur dari bibir cantik penyanyi ini, mahu menjelaskan situasi sekali gus menegaskan hubungan mereka tetap erat. Cuma mungkin Marsha sendiri agak kurang selesa apabila percintaannya semakin diperbesarkan berbanding kerjaya?
“Sebenarnya masih terlalu awal untuk menyatakan kami bercinta, namun dia lelaki paling rapat dengan saya ketika ini. Orangnya cukup memahami malah banyak mengajar saya mengenai selok belok dunia bisnes.
“Jadi agak kurang manis jika saya pula berlebih-lebih bercerita soal hati. Jika masanya sudah tiba, tiada apa perlu disembunyikan, namun buat masa ini tempoh perkenalan kami belum cukup untuk mengenali hati budi atau untuk melangkah ke fasa seterusnya,” kata pemilik Marshalondoh Entertainment itu.
Ditebak sama ada perkara itu punya hubung kait dengan gosip mengenai si jejaka yang dikatakan agak ‘ligat’? Dedah penyanyi berusia 26 tahun itu, perkara itu langsung tiada kaitan, malah setakat ini dia belum pernah mendengar lagi usikan nakal seperti itu.
Sebagai artis, katanya dia sendiri pernah dilanda pelbagai gosip yang ada kalanya langsung tidak berasas dan berharap jangan pula temannya
dikaitkan dengan cerita kurang elok disebabkan berkawan dengan dirinya.
“Walaupun kami daripada dua bidang berbeza, persahabatan kami cukup serasi. Jika cerita mengenai sikapnya disebarkan tanpa diketahui puncanya, saya sendiri pernah melalui saat itu dan hanya berharap dia mampu bersabar.
“Memang keluarga saya juga sudah mengenalinya tetapi itu tidak bermakna hubungan kami semakin serius. Kalau boleh saya enggan lagi bercakap soal perasaan kerana perkara belum ada kepastian,” katanya lagi sambil tersenyum manis.
Tanpa berselindung, gadis dari Sabah itu menyatakan pernah mengimpikan detik 25 tahun sebagai usia untuknya mendirikan rumah tangga. Begitupun setahun berlalu, membuatkan impian itu dilanjutkan lagi.
“Memang kalau cakap soal sedia menggalas tanggungjawab sebagai isteri, saya sudah bersedia sejak tahun lalu. Cuma tiada calon, macam mana nak berkahwin? Kalau terlepas usia ini, maknanya saya perlu tunggu lima tahun lagi untuk berkahwin.
“Bukan apa, kebetulan sekarang ini saya masih sibuk dengan promosi album EP yang baru dilancarkan Januari lalu, selain memenuhi tawaran berlakon. Apa pun subjek paling utama iaitu calon suami belum ada, jadi memang belum boleh berkahwin untuk masa terdekat ini,” tambahnya lagi diiringi ketawa kecil.
Keluarga terima jejaka Melayu
MENDEKATI insan bernama Marsha ini, sememangnya dia cukup mudah dihampiri dan begitu peramah, malah biar diaju soalan nakal, tidak pernah sekelumit pun muncul riak kurang senang pada wajahnya.
Tatkala persoalan kembali mengenai penerimaan keluarga masing-masing lantaran perbezaan agama dan budaya, katanya ia bukan masalah, kerana kakaknya sendiri berkahwin dengan lelaki India.
“Keluarga saya sendiri berkahwin campur, terutama kakak saya. Mereka cukup terbuka jika berbicara soal ini. Tiada yang perlu ditakuti kerana sejak kecil kami sudah biasa hidup dikelilingi kelompok masyarakat berbilang bangsa,” katanya seakan memberikan suatu petanda.
Enggan memanjangkan isu jodoh, cerita beralih kepada EP sulungnya yang berjudul Yang Pertama apabila turut memuatkan dua lagu nukilannya sendiri, Bila dan Berjanji, selain tiga dendangan lain.
Aktiviti seninya juga masih di ambang sinar walau ramai bakat baru muncul, malah terkini Marsha turut muncul dalam filem Cun! arahan Osman
Ali selain beberapa drama seperti Kum Kum The Series, KITA 2 serta Mencari Cinta.
“Dalam bidang ini kita tidak boleh terlalu memilih. Saya masih anggap diri ini masih hijau dalam dunia lakonan dan perlu banyak memperbaiki mutu lakonan. Bekerja dengan pengarah berbeza antara kaedah pembelajaran sekali gus menyuntik pelbagai benda baru buat saya,” jelasnya jujur. BHARIAN
PROFIL; Misha
Nama: Marsha Milan Londoh
Tarikh Lahir: 6 Disember 1985
Asal: Tamparuli, Sabah
Adik beradik: Anak ketiga daripada empat beradik.
Sokong penaja Marsha.
Post a Comment