SEJAK beberapa bulan lalu, Rosyam Nor seakan-akan menjauhkan diri daripada media. Ini berikutan tersiarnya berita hangat membabitkan perniagaannya.
Sejak itu juga, pelakon dan usahawan ini susah dihubungi oleh rakan wartawan. Gara-gara mengambil keputusan untuk berdiam diri, aktor hebat Rosyam disangka merajuk. Menguatkan lagi dakwaan apabila kelibat Rosyam tidak kelihatan di majlis rumah terbuka anjuran The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP).
Memandangkan sukar untuk bertemu bapa kepada lima cahaya mata ini pada majlis terbuka, Hip menyerbu lokasi sesi uji bakat program realiti Pilih Kasih yang berakhir Ahad lalu di KL Sentral.
Rosyam yang bergaya ringkas topi, baju T bersama seluar jeans, sempat melemparkan senyuman ketika sedang mengadili peserta bersama-sama dengan Fatimah Abu Bakar dan Que Haidar sebaik melihat kami muncul. Sehari sebelum itu, dia sudah diserbu akhbar dari syarikat penerbitan lain yang semuanya mahukan kepastian benarkah Rosyam Nor merajuk?
“Saya tidak merajuk. Kalau saya merajuk, saya takkan pergi ke syarikat akhbar untuk membeli iklan bagi mempromosikan program Pilih Kasih yang sudah pun menemui penonton sebanyak tiga episod.
“Saya berdiam diri sebab nak bagi keadaan sejuk. Sebelum ini keluar dalam ruang gosip mengatakan saya mengamuk, padahal waktu itu saya hanya ingin bertemu dengan wartawan yang menulis gosip berkenaan untuk mendapatkan maklumat berhubung kiriman surat layang berkaitan saya yang diterimanya melalui e-mel.
“Saya ke sana dengan cara baik, tetapi tiba-tiba keluar cerita mengatakan saya mengamuk. Seingat saya, saya ke sana seperti biasa. Jadi apabila kisah saya tinggi suara keluar di pejabat akhbar, saya rasa jalan terbaik adalah berdiam diri saja. Saya tak berniat nak melakukan sebarang kekasaran kepada wartawan terbabit, bukannya dia tak kenal saya macam mana.
“Saya pun tak berniat nak memusuhi wartawan kerana saya anggap anda semua (wartawan) sebagai kawan. Siapa lagi kawan-kawan saya kalau bukan di kalangan penerbit dan wartawan? Saya tidak suka meletakkan diri saya sebagai artis, saya sudah mengenali wartawan daripada pelbagai generasi. Malah saya tidak ada masalah jika wartawan nak bertandang ke rumah saya, cuma saya bukan jenis orang yang suka mengadakan rumah terbuka dan kemudian ajak orang datang ke rumah.
“Sesiapa yang nak datang saya alu-alukan tetapi saya tak izinkan untuk ambil gambar. Baru-baru ini timbul pula cerita saya adakan rumah terbuka, sebenarnya saya tidak adakan sebarang majlis rumah terbuka, cuma memang saya adakan majlis kemasukan ke rumah baru, tetapi itu hanyalah untuk saudara mara saja. Jadi saya pelik macam mana cerita itu boleh tersebar,” katanya.
Sememangnya, sekali Rosyam bercakap, susah pula hendak berhenti. Jauh berbeza daripada sangkaan dia akan bersikap dingin atau cuba mengelakkan diri daripada ditemui wartawan.
Sementara itu diminta mengulas dakwaan mengatakan dia tidak mahu terlalu menonjol di dalam Pilih Kasih, Rosyam berkata, dia berbuat demikian bagi mengelakkan timbulnya pilih kasih antara dirinya dengan peserta. Keputusan itu juga bukanlah keputusannya seorang tetapi dicapai hasil perbincangan bersama produksi program berkenaan.
“Apabila terlalu banyak campur tangan dalam program ini, saya menjadi terlalu dekat dengan peserta. Saya tidak mahu keakraban dengan peserta mempengaruhi pemberian markah untuk mereka.
“Susahnya bila akrab, ia juga akan mempengaruhi fikiran saya ketika proses penyingkiran. Jadi saya ambil keputusan untuk menjadi pemerhati saja,” katanya.
Mencari calon berani
PROGRAM PILIH Kasih musim kedua masih lagi menjalin kerjasama bersama-sama dengan RTM serta mendapat tajaan daripada Telekom Malaysia (TM). Pencarian calon peserta Pilih Kasih diadakan sejak Julai dan berakhir Ahad lalu (10 Oktober). Proses pencarian calon peserta kali ini berlangsung agak lama apabila terpaksa dihentikan sementara waktu kerana memasuki Ramadan dan Syawal.
Kali ini, Pilih Kasih menjelajah ke tujuh buah lokasi iaitu Johor Bharu, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur, Shah Alam dan Kota Bahru. Sesi uji bakat di setiap lokasi diadakan selama dua hari mengambil iktibar daripada musim lalu apabila lokasi di Shah Alam diserbu sehingga menyebabkan sesetengah orang yang berminat untuk mencuba nasib tidak dapat berbuat demikian.
Ditanya apakah masih relevan program Pilih Kasih berikutan produk keluaran program berkenaan seakan-akan tidak terlalu menonjol. Malah sehingga memasuki musim kedua, tidak ada seorang pun di antara peserta musim lalu yang menyerlah.
Rosyam menjelaskan, momentum program realiti nyanyian dan lakonan adalah berbeza. Peserta program nyanyian, kata Rosyam boleh cari makan walaupun dengan hanya satu lagu tetapi lakonan pula bergantung kepada nasib dan usaha peserta itu sendiri.
“Jangan melihat Pilih Kasih macam program realiti nyanyian. Program ini hanya untuk mereka yang berani. Berlakon tidak mudah seperti nyanyian. Kalau peserta nyanyian, selepas keluar dari akademi mereka mudah dapat tawaran walaupun cuma dengan satu lagu. Jangan ingat program realiti lakonan pun sebegitu, walaupun bergelar juara tak semestinya bila keluar mereka akan ditawarkan watak utama.
“Bila keluar dari Pilih Kasih jangan ingat mereka akan terus popular. Saya mahu peserta Pilih Kasih bersusah payah seperti mana saya dulu yang terpaksa berusaha selama 13 tahun untuk berada pada tahap ini. Saya terbitkan program ini sebagai platform untuk mereka, selepas keluar dari program ini mereka kenalah pandai mencari peluang. Sebab itu saya tidak mengikat mereka dan saya juga tak mengenakan sebarang caj jika mereka mendapat tawaran lakonan,” kata Rosyam.
Sementara itu, diminta mengulas bagaimana dengan projek drama dan filem yang dirancang untuk peserta Pilih Kasih musim lalu. Rosyam menjelaskan projek itu akan tetap berjalan tetapi dia hanya akan menerbitkan drama saja.
Kata aktor yang pernah memenangi Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-21 menerusi filem Kala Malam Bulan Mengambang itu, dia tidak berhasrat menipu peserta Pilih Kasih tetapi mereka perlu tahu pelbagai prosedur yang perlu dilalui untuk berurusan dengan pihak RTM. Bagaimanapun dia berjanji akan memastikan perbincangan bersama RTM selesai dalam tahun ini juga.
INFO
Rosyam Noor
# Nama sebenarnya Mohd Noor Shamsuddin.
# Dilahirkan di Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur pada tahun 1967.
# Mendirikan rumah tangga dengan Runika dan dikurniakan 5 anak.
# Anak saudara kepada Allahyarham Hussein Abu Hassan dan sepupu kepada aktor Faizal Hussein.
# Sudah berlakon lebih 30 filem.
# Memenangi Pelakon TV Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) sebanyak tujuh kali kali.
# Memenangi Pelakon Filem Lelaki Popular di ABPBH sebanyak tiga kali.
# Dipilih Bintang Paling Popular ABPBH pada tahun 2002.
# Diangkat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke-51 menerusi filem Bilut pada 2006
kredit : Berita Harian Online
Post a Comment