Pasangan berpisah selepas dua minggu hakim sahkan nikah

Belum pun sampai dua minggu pernikahan mereka disahkan, penyanyi dan pelakon, Maya Karin Roelcke bersama suaminya, Muhammad Ali Abdullah @ Steven David Shorthose, 40, kini sah bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur di sini, semalam.
Perceraian Maya dan Muhammad Ali, guru Matematik di Sekolah Antarabangsa Alice Smith di sini, disahkan oleh Hakim Mahkamah Syarie, petang semalam.
Click Here
Dalam prosiding itu, Muhammad Ali, 40, melafazkan talak satu dengan kebenaran mahkamah terhadap Maya, 31, kira-kira jam 3 petang semalam.

Maya yang dihubungi Berita Harian, mengesahkan perceraian itu melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang turut dikirim kepada media.

Beliau juga memberitahu perceraian itu atas persetujuan kedua-dua pihak.
“Keputusan kami untuk berpisah dibuat secara bersama selepas menimbangkan perkara itu dengan mendalam dan penuh kekesalan.
“Kami percaya ia menjadi pengakhiran cerita dalam isu ini dan amat menghargai jika pihak media tidak lagi menggembar-gemburkan isu ini dengan membuat pelbagai spekulasi dan berharap hak peribadi kami dihormati,” kata mereka.

Pada 7 Julai lalu, Mahkamah Rendah Syariah di sini, mengesahkan pernikahan Maya dan Muhammad Ali. Pasangan itu tidak didenda dan diberi pengecualian dalam kes difailkan itu.

Pasangan diijabkabul di Villa Corte de Lago, Bellagio Itali pada 14 Ogos 2008 dan mereka tidak dikurniakan anak.

Pelakon yang kini sibuk mempromosikan filem terbarunya, Magika, sebelum ini berteka-teki apabila enggan memberikan kenyataan berhubung kehadiran mereka selama dua jam di kamar hakim pada 24 Jun lalu.

Maya sebaliknya memberitahu beliau perlu menghormati permintaan suami supaya tidak memberikan sebarang kenyataan kepada media berhubung status rumah tangga mereka.




Kredit : Bharian Online

Post a Comment