Agnes Monica cari jejaka yang memiliki kehidupan stabil

MASIH solo, demikian yang diakui Agnes Monica apabila ditanya mengenai kisah peribadinya.

Persoalan terbabit terjawab ketika penyanyi itu menghadiri sidang media untuk sempena persembahannya di Kuala Lumpur yang dijangka pada akhir bulan ini. Penampilannya ringkas petang itu, namun tetap kejelitaannya tetap terserlah. Malahan kulitnya yang putih kemerahan jelas terpancar dan agak mustahil penyanyi secantiknya tidak punya berteman.

Namun, penyanyi bernama penuh Agnes Monica Muljoto berusia 23 tahun itu tidak berselindung ketika diaju pertanyaan mengenai status dirinya. Jika benar bagai dikata, bererti gosip terbarunya yang mengaitkan dia pernah bersama seorang doktor bernama Neil yang dikenalinya di Jepun hanya tinggal sejarah. Pintas pelakon drama bersiri di negaranya itu, memegang status sebagai selebriti pastinya sering dihambat kontroversi hingga kisah peribadi terheret sama untuk dibongkar.

“Kisah dengan lelaki Jepun itu sudah lama berlalu. Saya juga sedar memang banyak gosip cinta yang melanda diari hidup saya. Saya mengerti kehendak masyarakat dan media yang ingin mengambil tahu mengenai hal sebegitu. Sebagai manusia, saya juga mempunyai hak untuk berahsia atau sebaliknya.

“Selama ini pun saya bukan berniat untuk berahsia atau menjadi misteri. Cuma saya berasakan adil dan saksama sekiranya masyarakat dan peminat memberi tumpuan kepada kerjaya berbanding hal peribadi.

“Saya juga bukan berniat membiarkan orang tertanya-tanya mengenai kisah cinta, cuma saya selesa membiarkan ia menjadi pasti dulu,” katanya yang ditemui di Hotel Quality Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.
Tidak habis di situ, penyanyi yang popular dengan lagu Matahariku dan Teruskanlah ini ditanya mengenai bagaimana pilihan hatinya. Ungkapnya bersahaja, dia lebih senang bercinta dengan lelaki biasa yang tidak terbabit dalam dunia seni.

“Seperti wanita biasa yang lain, saya tetap mendambakan lelaki yang dapat mengemudi hidup saya. Sebaiknya, dia dapat menjadi nakhoda membimbing hidup bersama-sama sekalipun saya mempunyai kerjaya sendiri sebagai anak seni. Saya mahukan lelaki yang stabil dalam pelbagai aspek.

“Bukan bermaksud saya kebendaan dan menjatuhkan hukum bahawa lelaki yang memilih dunia seni tidak stabil. Cuma sepanjang pengamatan saya, tak ramai lelaki di kalangan dunia seni yang memiliki kehidupan stabil. Dalam hidup ini mahupun bercinta, ia semua berbalik kepada soal memilih yang terbaik,” tegasnya yang akan muncul dengan sebuah single dan drama terbaru tak lama lagi.

Dalam sisi lain, dia kali terakhir muncul dengan album Sacredly Agnezious tahun lalu memberitahu bahawa kerjaya seninya tetap diseimbangkan dengan pendidikan.

Ketika ini, Agnes bergelar penuntut secara online di University Oregon Centre, Amerika Syarikat. Katanya, dia dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan soal pendidikan. Lalu tidak hairan, sekalipun memilih bidang glamor, dia tetap memberi keutamaan dalam pelajaran.

Baginya, mengimbangkan dua perkara dalam satu masa dianggap sebagai satu proses hidup yang mematangkan.

Pada waktu senggang, memang hampir kebanyakan ruang waktu saya habiskan dengan membaca. Saya memang cukup akrab dengan buku termasuk yang bersifat biografi. Belajar ini bukan setakat mendapat gred atau markah yang tinggi sebaliknya ia membenarkan saya membuka minda dan jiwa dalam sudut yang tidak terbatas.

“Setiap orang mempunyai persepsi dan pandangan masing-masing dalam hidup. Bagi saya, pendidikan boleh diterjemahkan sebagai satu manifestasi untuk kita berdebat dan bertolak ansur.

“Sebab itu saya suka belajar. Saya yakin ilmu itu sentiasa dipelajari dan tidak pernah terhenti,” katanya yang kali terakhir datang ke Malaysia pada tahun lalu.

Ditanya lanjut mengenai persembahan Minggu Setiausaha bersama Hotel Quality pada 28 dan 29 April ini di Pusat Konvesyen dan Pameran MATRADE, Jalan Duta, Agnes memberitahu dia sangat teruja untuk menghiburkan peminat di Malaysia termasuk mereka di kalangan setiausaha dan majikan.

Agnes menjadi penyanyi ketiga dari Indonesia yang menjadi pilihan HQCC selepas Kris Dayanti dan Rossa.

“Saya akan membuat persembahan dengan penari sendiri dan pemuzik pula dari Malaysia. Ini kali pertama saya terbabit bekerjasama dengan pemuzik dari Malaysia. Saya akan digandingkan dengan Jenny Chin sebagai pengarah muzik. Mengenai pemilihan lagu, saya biarkan ia menjadi kejutan terlebih dulu.

“Sebenarnya di Indonesia pun saya sering membuat persembahan untuk golongan korporat. Dan berdasarkan pengalaman saya di sana, maklum balas yang diperoleh ialah mereka mahu saya menjadi Agnes Monica seadanya. Mereka mahu saya menyanyikan lagu balada dan rancak diiringi penari.

“Jadi, saya akan praktikkan perkara yang sama untuk persembahan selama dua hari ini. Saya akan jadi lincah seperti biasa dan saya juga akan jadi melankolik.

Setakat ini persiapan saya berterusan dan bukan hanya pada saat ada undangan persembahan,” katanya yang membuat latihan vokal dalam tempoh dua jam selama tiga kali seminggu dan latihan fizikal secara intensif tiga kali seminggu.

-BeritaHarian

Post a Comment