Pelakon yang pernah mencetuskan kontroversi inginkan kepastian mengenai nasibnya di sebuah stesen TV

SELEPAS membuat kemunculan kembali beberapa tahun kebelakangan ini, Zarina Zainuddin, 39, tidak mampu mengelak rindu yang begitu menebal untuk kembali beraksi sebagai pelakon. Darah seninya masih mengalir dan tidak hairan wajahnya kerap muncul di kaca TV. Kalau sudah namanya anak seni, datang 1001 halangan pun mampu diatasi.

Tak dinafikan rezeki Zarina cukup murah dan tidak putus-putus diundang berlakon terutama dengan stesen TV berbayar (Astro). Selain Senja Prima, Zarina pernah berlakon dalam drama Kamelia Katrina, Mama Murai dan beberapa lagi drama yang mengundangnya sebagai artis undangan.

Selain Astro, Zarina juga sering menerima undangan berlakon di bawah stesen RTM. Cuma yang menjadi persoalan di sini, Zarina kononnya sudah digam sebuah stesen TV. Kisah itu pernah keluar dalam ruangan gosip di sebuah akhbar.

Nampaknya, Zarina antara artis yang turut menerima nasib yang sama apabila ‘dilarang’ untuk muncul dalam stesen TV tertentu. Zarina diuji lagi. Akui Zarina, dia sendiri tidak tahu sebab musabab kenapa perkara itu terjadi. Sebagai pelakon, dia mengharapkan kepastian mengenai status dirinya yang sebenar.

“Saya sendiri kurang jelas kenapa ini terjadi. Ada beberapa kali insiden membabitkan drama di bawah stesen terbabit yang berakhir dengan pelbagai alasan. Antaranya watak yang sudah diberi kurang sesuai dan digantikan dengan pelakon lain.

“Saya pernah selesai menjalani penggambaran 10 episod sebuah drama tapi belum sempat selesai melunaskan episod selebihnya, watak saya dimatikan tanpa sebab. Malah, saya pernah diundang ke majlis menghebahkan penggambaran sebuah drama dan keesokan harinya nama saya digugurkan tanpa sebab kukuh.

“Saya ada bertemu dengan orang kuat stesen TV terbabit dan masalah yang saya alami berakhir untuk tempoh seketika. Saya kembali berlakon untuk sebuah drama, tetapi selepas itu apa yang saya alami terus berpanjangan hingga ke saat ini,” katanya dalam nada kecewa ketika bertemu dengannya di lokasi penggambaran drama Senja Permai yang diadakan di Kota Damansara baru-baru ini.

Terdahulu pada 1994, kamar hatinya bertamu dengan seorang ahli perniagaan dan selepas berkahwin dia lebih selesa mengehadkan dirinya dalam bidang seni. Ketika itu, dia sibuk menguruskan keluarga dan menjalankan perniagaan berkaitan produk kecantikan.

Hasil perkahwinannya dengan memilih hidup bermadu selama hampir 18 tahun, Zarina dan suaminya dikurniakan empat orang anak. Anak kembar sulungnya yang kini berusia 14 tahun, Muhammad Razil Azrai dan Muhammad Raizal Azrai, banyak menemaninya di samping Muhammad Naim Azrai, 7, dan Muhammad Adam Azrai, 4.

“Anak pun semakin membesar malah suami pun sentiasa memberi dorongan untuk saya terus berlakon. Biasalah apabila ada masa terluang, perasaan bosan itu mula timbul. Untuk mengisi kekosongan, saya mula mendekatkan diri kembali dalam bidang lakonan.

“Berlakon ini seperti satu keghairahan yang datang dalam diri. Kenikmatannya sangat berbeza. Ia membuka peluang kepada kita untuk mencuba pelbagai karakter termasuk karakter baru saya dalam drama Senja Permai. Dalam drama bersiri 68 episod ini, saya memegang watak Mimi yang gedik dan sengal,” katanya.

Berbicara lanjut mengenai drama Senja Permai terbitan Astro, sudah empat bulan Zarina menghabiskan masa di lokasi penggambaran drama itu.

Dalam tempoh itu, Zarina juga diuji apabila adik kesayangannya, Lyana Shamsudin pulang ke rahmatullah hujung Januari lalu. Kebetulan semasa adiknya meninggal dunia, dia berehat seketika daripada menjalani penggambaran drama ini. Adiknya meninggal dunia disebabkan penyakit batuk kering.

Drama ini juga buat pertama kali menggandingkan Zarina dengan aktor Faizal Hussein. Sepatutnya sewaktu Hip ke lokasi penggambaran ini Faizal ada bersama. Bagaimanapun disebabkan masalah peribadi, pihak produksi memaklumkan Faizal tak dapat bersama.

“Mulanya memang saya kekok berlakon dengan dia (Faizal Hussein). Sepanjang pengamatan saya, dia agak pemalu dan tak banyak bercakap. Selepas selesai sesebuah babak, dia lebih selesa membuat hal sendiri. Mujur juga apabila kami di depan kamera, keserasian itu tetap ada.

“Insya-Allah, selepas selesai penggambaran nanti, saya akan berehat seketika untuk memberi tumpuan kepada pengubahsuaian spa saya di Subang Jaya. Peluang ini, saya akan manfaatkan untuk menguruskan perniagaan yang sudah ditinggalkan lama,” katanya yang lebih selesa menerima tawaran berlakon di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor kerana tidak sanggup berjauhan dengan keluarga.

Bergaya biar kena tempat

KALAU ada yang masih ingat, nama Zarina sewaktu awal pembabitan seninya sering dikaitkan dengan imej seksi. Namun seiring dengan peningkatan usia dan pengalaman, Zarina sedar gaya itu tidak cocok lagi buat dirinya. Menurutnya, tak salah bergaya tapi biarlah kena tempat.

“Tak sesuailah kalau saya nak seksi lagi macam dulu. Jadi malu kalau anak-anak saya tengok. Saya bukan mengelak bergaya seksi, cuma saya tak nak keterlaluan dalam soal bergaya. Saya harus sedar status saya sebagai isteri dan ibu. Nak bergaya pun biar kena dengan usia.

“Saya bukan nak menjadi hipokrit tapi kini saya perlu sedar batas yang merangkumi kehidupan. Saya sudah pernah bergaya itu dan ini sewaktu muda. Saya sudah mengenali pahit manis bergelar artis. Semuanya menjadi teladan dan sempadan.

“Sebagai manusia biasa, saya tidak boleh lari daripada melakukan kekhilafan. Setiap hari adalah proses pembelajaran. Saya bersyukur, kini saya mempunyai suami yang ada di belakang, yang sentiasa menegur. Begitu juga peminat saya,” katanya yang sudah 21 tahun bergelar anak seni di samping mengendalikan perniagaan Adura Marketing Malaysia sejak 9 tahun lalu.

Pelakon lama, baru seimbang

Sementara itu, Hip turut mendapatkan penjelasan Penerbit Eksekutif Dramanya, Foo Chee Yeong mengenai kewujudan drama yang disiarkan sejak 28 Disember lalu. Menurutnya, idea menghasilkan drama ini dicetuskan Astro sendiri di atas kesinambungan drama berdurasi panjang yang pernah dihasilkan Astro sebelum ini iaitu Astana Idaman.

Drama bersiri panjang ini bukanlah satu yang asing di negara kita, kerana lambakan drama dari Amerika Selatan menerusi terma telenovela dan sinetron dari Indonesia mula menjadi sebutan. Kata Foo Chee Yeong lagi, semuanya berbalik kepada soal masa untuk terus memperkenalkan drama siri sebegini di Malaysia.

“Subjek yang diketengahkan dalam drama ini berkisarkan komuniti atau kemasyarakatan. Kebarangkalian besar apa yang ditonjolkan di dalam drama ini terjadi di alam realiti amat besar. Ia bukan membabitkan satu keluarga saja, sebaliknya tiga buah keluarga dalam sisi cerita tersendiri yang saling berkait.

“Maklum balas yang kami terima terhadap Senja Permai sangat positif. Drama ini disifatkan sangat berbeza dengan drama lain. Cara mempersembahkan karakter termasuk warna (sinematografi) yang ditonjolkan juga cukup menarik.

“Berdurasi selama setengah sejam untuk setiap episod juga sebagai strategi supaya penonton tertunggu-tunggu episod seterusnya. Pemilihan pelakon juga sangat seimbang. Kita ada pelakon baru dan lama. Untuk yang lama kita ada Norman Hakim, Faizal Hussein dan ramai lagi. Ainul Aishah, Elfira Loy, Waniey pula antara pelakon baru,” katanya.

Hip diberitahu kos menghasilkan drama ini mencecah lebih RM3 juta membabitkan kos produksi dan tidak termasuk kos promosi. Drama ini boleh ditonton setiap Isnin hingga Khamis jam 9 malam dan disiarkan hanya di Astro Prima. -Bharian

Post a Comment