Pengarah syarikat minuman Yassa Sdn Bhd memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam, Mawi World Sdn Bhd menggunakan harta intelek syarikat itu iaitu lesen pengeluaran minuman air mineral dan alamat kilang minuman pada botol minuman tanpa kebenaran Yassa.

Muhammad Nizam Bahari, 41, berkata Mawi World menganggap harta itu sebagai miliknya dan membuat keuntungan daripada penggunaannya.

Katanya, pihak Yassa beberapa kali menghubungi Mawi World mahu pun wakilnya dan mengarahkannya atau mana-mana ejennya menghentikan serta-merta penggunaan harta milik Yassa pada botol minuman itu tetapi Mawi World gagal berbuat demikian.

Muhammad Nizam, saksi tunggal plaintif memberitahu mahkamah beliau tahu mengenai penggunaan harta itu oleh Mawi World selepas melihat air mineral jenama Mawi World dijual di sebuah pasar raya di Subang Jaya pada 30 September 2006.

Katanya, beliau mendapati maklumat seperti lesen, alamat kilang sama dengan alamat syarikat Yassa dan menggunakan maklumat kandungan yang sama dengan syarikat itu.

Beliau kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Seremban pada 2 Oktober 2006, kerana penggunaan maklumat-maklumat harta milik syarikat Yassa.

Muhammad Nizam berkata, Mawi World juga membuat promosi besar-besaran bagi penjualan minuman itu dan majlis pelancaran minuman itu disiarkan di akhbar-akhbar tempatan.

Beliau berkata pihak Yassa mengadakan mesyuarat dengan pengurus Mawi World pada 3 Oktober 2006, bagi membincangkan penggunaan harta intelek itu dan pihak Mawi World mengaku tidak memperoleh sebarang kebenaran daripada Yassa, sebaliknya mendakwa Mawi World memperoleh minuman itu daripada Syarikat Johtaw Corporation (M) Sdn Bhd, iaitu syarikat yang mengedarkan air mineral kepada pekedai.

Saksi defendan, bekas pengurus syarikat Johtaw Cor-poration, Ahmad Rathi Mohd Mohyodin, memberitahu mahkamah Johtaw mempunyai hubungan perniagaan dengan Yassa bagi perniagaan air mineral selama dua tahun dan sepanjang tempoh itu tiada perjanjian bertulis dibuat.

Ahmad Rathi, 34, berkata Mawi World melantik Johtaw untuk mengeluarkan dan membekalkan air mineral jenama Mawi World tetapi pada sekitar September 2006, Yassa tidak dapat memenuhi pesanan air mineral itu kerana mempunyai masalah dengan mesin penapis air.

Hakim Datuk Azahar Mohamed yang mendengar kes itu menetapkan esok untuk hujahan selepas kedua-dua pihak selesai memanggil saksi masing-masing. - Bernama

Post a Comment