KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam, menetapkan perbicaraan selama tiga hari bermula 17 Februari ini bagi kes saman RM1 juta difailkan syarikat pengeluar air mineral, Yassa Sdn Bhd terhadap syarikat milik penyanyi popular Asmawi Ani, 29, Mawi World Sdn Bhd (MWSB) atas dakwaan melanggar hak harta syarikat.
Hakim Datuk Azahar Mohamed menetapkan tarikh itu dalam kamar dengan dihadiri peguam Yassa, Nasrul Hadi Mad Saad, yang turut menyebut bagi pihak MWSB.
MWSB sebelum ini diwakili peguam Juliana Mohamed. Ketika ditemui di luar mahkamah, Nasrul Hadi berkata pihaknya akan mengemukakan seorang saksi, manakala MWSB memanggil tiga saksi dalam perbicaraan kes itu.
Pada 31 Oktober 2006, Yassa memfailkan saman dengan mendakwa MWSB melanggar hak harta intelek dengan memasarkan air galian di bawah jenama 'Mawi World', menggunakan kandungan maklumat milik syarikat itu seperti lesen pengeluaran minuman air mineral dan alamat kilang minuman pada botol minuman tanpa kebenaran.
Yassa mendakwa botol air minuman Mawi World yang memaparkan gambar penyanyi itu didapati mengandungi butiran maklumat sumber dan kandungan air mineral yang sama seperti pada botol air mineral Streamline keluaran Yassa.
Pada 14 Februari 2008, Penolong Kanan Pendaftar Noorasyikin Sahat menolak permohonan MWSB untuk membatalkan saman itu.
MWSB mengemukakan permohonan membatalkan saman itu dengan alasan ia tidak mendedahkan tindakan munasabah, mengaibkan, remeh atau menyusahkan dan penyalahgunaan proses mahkamah.
MWSB merayu terhadap keputusan itu, tetapi rayuannya ditolak pada 18 Jun 2008.
Mawi juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MWSB melancarkan produk itu di Mydin Mall, Subang Jaya, pada 27 September 2006.
Post a Comment