
Kematiannya itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Bhd, Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan.
“Jenazahnya akan dimandikan di Masjid Seksyen 19, Subang dan dikebumikan sebelum Zuhur hari ini,” kata Ahmad Farid kepada wartawan di hospital itu, lewat malam tadi
Allahyarham yang ditempatkan di unit rawatan rapi hospital berkenaan, sebelum itu menjalani pembedahan membuang pendarahan dalam otak akibat serangan angin ahmar dan koma. Keadaannya dilaporkan merosot dan terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan.
Yasmin yang mencipta nama menerusi beberapa iklan Petronas dan filem Sepet, dikatakan mengadu tidak sihat ketika melakukan pembentangan kertas kerja yang turut membabitkan penyanyi terkemuka, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin dan suami, Datuk Khalid Mohd Jiwa.
Beliau rebah dan diberikan rawatan kecemasan termasuk bantuan pernafasan (CPR) oleh doktor residen TV3 sebelum dikejarkan ke hospital.
Dilahirkan di Bukit Treh, Muar, Johor pada 1 Julai 1958, Yasmin, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Psikologi dari Universiti Newcastle, United Kingdom, memenangi pelbagai anugerah di dalam negara dan antarabangsa bagi karya kreatifnya.
Laporan Bernama menyatakan, isteri kepada Abdullah Tan Yew Leong itu memulakan kerjaya dalam industri pengiklanan sebagai penulis iklan di Ogilvy & Mather, sebelum menyertai firma Leo Burnett sebagai pengarah kreatif bersama pada tahun 1993 sehingga memegang jawatan sebagai pengarah kreatif eksekutif di Leo Burnett.
Kehebatan Yasmin dapat dilihat dalam banyak iklan komersial Petronas kerana mampu mencuit dan meruntun hati penonton dengan sentuhan karyanya.
Sumber : Berita Harian
Post a Comment