Kerajaan Melaka enggan tarik balik anugerah cetus kontroversi: Mohd Ali

MELAKA: Artis terkenal Bollywood, Shah Rukh Khan bersetuju menerima anugerah Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk daripada Kerajaan Melaka sempena hari jadi Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob pada 11 Oktober lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang mengesahkannya di sini semalam berkata, aktor itu akan datang bagi menerima sendiri anugerah berkenaan bulan depan dengan tarikhnya belum ditetapkan.

Bagaimanapun, katanya, majlis penganugerahan itu bukan khusus untuk beliau seorang seperti dilaporkan sebelum ini, sebaliknya membabitkan beberapa penerima termasuk Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Honda, Tokeo Fukui.

"Shah Rukh Khan sudah bersetuju menerima anugerah ini. Insya-Allah, bulan depan dia ke sini dan tarikhnya akan diputuskan menerusi perbincangan antara Tun Daim Zainuddin (wakil Kerajaan Melaka) dengan Datuk Shah Rukh," katanya selepas perasmian Menara TM Melaka setinggi 14 tingkat di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, yang disempurnakan Khalil, semalam.

Mohd Ali turut menepis laporan kononnya anugerah itu akan ditarik balik, mengulangi kurniaan kepada Shah Rukh Khan ialah menghargai sumbangan aktor berkenaan terhadap publisiti tidak ternilai yang diberikan kepada Melaka menerusi filem lakonannya.

Sebelum ini beberapa pihak mengkritik penganugerahan dan terbaru kelmarin, di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Abdul Ghapur Salleh melontarkan kritikan pedas termasuk menganggap langkah kerajaan Melaka itu sebagai memalukan.

Post a Comment